Majlis Penyampaian Surat Tawaran Lot Ladang 5 (STR) Batu 8 Lepar, Mukim Lepar, Daerah Pekan, Pahang

     PEKAN, 9 JUN 2022 : Pelaksanaan Skim Tanah Rakyat (STR) oleh Kerajaan Pahang bagi kawasan Batu 8 Lepar (Lot 5), Mukim Lepar di Pekan yang melibatkan para peserta terdiri daripada penjawat awam Negeri Pahang membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah melupakan kepentingan golongan berkenaan.


YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penjawat awam merupakan pemangkin kepada pembangunan negeri dan kerajaan negeri sentiasa cakna mengenai hal ehwal kebajikan golongan penjawat awam yang memberikan khidmat di Pahang.


“Ini adalah salah satu cara kita menghargai perkhidmatan mereka di Negeri Pahang di mana mereka telah memberikan perkhidmatan dan sebagai balasannya kita bagi tanah dalam bentuk Skim Tanah Rakyat (STR) seluas 5 ekar seorang


“Ini salah satulah selain daripada banyak lagi kita ada Skim Tanah Warisan (STW), Skim Tanah Rakyat (STR) yang kita beri kepada rakyat Negeri Pahang ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Surat Tawaran kepada Peserta Lot Ladang Sawit di Bawah Skim Tanah Rakyat (STR), Batu 8 Lepar (Lot 5), Mukim Lepar di Pekan, petang tadi yang diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).


Pada majlis itu, seramai 240 penerima telah menerima surat tawaran mereka di mana setiap menerima telah mendapat tanah seluas 5 ekar dengan anggaran jualan RM61,000.


Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kesemua penerima telah dipilih oleh Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) dalam mempertimbangkan pemberi milikan tanah secara berperancangan di Pahang.


“Dia ada kriteria tertentu contohnya penjawat awam, mereka yang telah bersara atau pun mereka yang bekerja tetapi berpendapatan rendah, ini semua jawatankuasa yang tentukanlah,” katanya.


Beliau turut mengingatkan para penerima dapat melunaskan tanggungjawab membayar cukai tanah setelah menerima surat tawaran pemilikan tanah di STR.


*Sumber dari PAHANGMEDIA.my

img
img

img
img

img
img