Pembentangan Prestasi Dan Majlis Anugerah Ladang PKPP Tahun 2020

     Kuantan, 25 Mac 2021 – Mesyuarat Pembentangan Prestasi Ladang-Ladang PKPP telah dipengerusikan oleh YH. Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif PKPP. Mesyuarat ini merupakan kali pertama diadakan bagi tahun 2021 dan dihadiri oleh Pengurusan Anak-anak Syarikat, Pengurusan Kanan PKPP dan Pengurus-pengurus Ladang. YH. Dato’ Pengerusi memaklumkan tujuan mesyuarat ini diadakan bagi mengetahui perkembangan dan prestasi semasa ladang-ladang PKPP berakhir tahun 2020 yang diuruskan oleh setiap ejen pengurusan.


YH. Dato’ Pengerusi menekankan senario isu-isu semasa di dalam cabaran industri sawit kini perlu dipandang serius agar produktiviti ladang dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa di samping pematuhan kepada amalan prosedur pensijilan MSPO.


Setiap anak-anak syarikat telah membentangkan sasaran perancangan bagi tahun 2021 berserta kaedah yang diambil dalam memastikan pemantapan pengurusan ladang dilakukan secara efektif dan progresif lagi agar keberhasilan ladang dapat dicapai dengan lebih komprehensif, kompetitif, dinamik dan menguntungkan kepada PKPP.


     Majlis Anugerah Ladang PKPP Tahun 2020 merupakan tahun ketiga sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Anugerah ini diberikan kepada Pengurusan Ladang yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2020 melalui usaha, komitmen dan peranan dalam memenuhi kriteria-kriteria yang dicalonkan oleh Ejen Pengurusan dan kemudiannya diputuskan oleh Pengurusan PKPP.


Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YH. Dato’ Suhaimi bin Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif diiringi oleh Puan Hajah Sarwah binti Mohamed Jusoh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) mengikut 7 kategori yang dipertandingkan. Kesemua penerima Anugerah Ladang PKPP Tahun 2020 menerima wang tunai, plak dan hadiah iringan. Tahniah dan syabas diucapkan.


img
img

img
img

img
img